Monday, March 31, 2008
BATU PAHAT 30 Mac – Pergerakan Pemuda UMNO mengutuk sekeras-kerasnya penerbitan filem Belanda, Fitna, yang mengkritik al-Quran yang disiarkan di Internet dan ia disifatkan sebagai sangat biadap.
Tindakan tersebut juga dianggap amat keterlaluan dan dikhuatiri akan menimbulkan kejadian tidak diingini terutama di kalangan masyarakat Islam di seluruh dunia termasuk Malaysia.
Ketuanya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memberitahu, tindakan penerbit filem itu merupakan contoh amalan demokrasi dan kebebasan bersuara yang dilakukan secara keterlaluan dan langsung tidak boleh diteladani.
Katanya, ia juga adalah contoh kemajuan dunia tanpa sempadan melalui perkembangan teknologi maklumat yang telah disalahgunakan.
“Kita rakyat Malaysia yang mempunyai rakyat pelbagai kaum tidak boleh membenarkan alasan kebebasan bersuara dengan menjadikan agama sebagai bahan untuk dilakukan sewenang-wenangnya,” katanya ketika ditemui pada Majlis Meraikan Jentera Pilihan Raya Umum Ke-12 Parlimen Sembrong di Kluang semalam.
Beliau mengulas mengenai filem Belanda, Fitna, yang disiarkan di Internet pada 27 Mac yang mengkritik Islam dengan menunjukkan surah al-Quran dan berlatarbelakangkan imej keganasan akibat serangan pengganas.
Ahli majlis perundangan Belanda, Geert Wilders, menerbitkan filem itu yang menunjukkan kenyataan daripada paderi yang radikal dan menyebut surah al-Quran dengan antaranya menyelitkan imej serangan 11 September terhadap Pusat Dagangan Dunia (WTC) di New York.
Menteri Pelajaran itu berkata, kejadian itu patut menjadi panduan kepada mereka yang sering melaung-laungkan kebebasan ala barat di negara ini agar tidak melakukan kebiadapan yang sama.
Sehubungan itu, tegasnya, Pemuda akan memikirkan tindakan yang patut dilakukan dalam waktu terdekat ini.
‘‘Bagaimanapun, kami yakin dengan kebijaksanaan pucuk pimpinan negara yang diterajui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, tindakan sepatutnya harus dilakukan,” ujarnya.
Tegasnya, beliau juga yakin Pemuda BN termasuk MCA dan MIC juga pasti mempunyai pandangan yang sama dan mengutuk perbuatan tersebut.
‘‘Jika mahu melaungkan kebebasan ia hendaklah datang dengan tanggungjawab dan tidak menyinggung perasaan penganut agama lain,” katanya.
Labels: Filem Fitna sangat biadap
0 comments:
Post a Comment