Friday, June 6, 2008
BETONG 5 Jun - Mayat seorang lelaki yang dipercayai dibaham buaya di muara Sungai Seruai, Spaoh dekat sini ditemui tersadai di tebing sungai itu dalam keadaan tidak sempurna di sini pagi ini.
Mayat Rudy Semion, 22, ditemui oleh pasukan polis pada kira-kira pukul 10.30 pagi, tidak jauh dari tempat buaya itu muncul untuk membaham mangsa pada Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Betong, Deputi Supritendan Mohd. Bukhori Saffai berkata, mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Betong untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarganya hari ini.
Bagaimanapun menurutnya, operasi memburu buaya itu tetap diteruskan pasukan Perhutanan Sarawak dari Kuching dan Sibu pada pukul 3 petang ini.
Katanya, sebelum mayat itu ditemui penduduk kampung yang mencari mangsa dikejutkan dengan kelibat buaya berwarna hitam dengan saiz belakang badan reptilia itu dilihat selebar sebuah kereta Perodua Kancil di sungai tersebut.
''Buaya itu yang muncul dengan mendongak kepala kemudiannya menghempas- hempas diri dalam sungai itu seolah-oleh mencabar serta marah dengan kehadiran pasukan operasi mencari mangsa," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan mengenai kejadian seorang lelaki hilang dipercayai dibaham seekor buaya di Sungai Seruai di sini.
Mangsa sebelum kejadian itu bersama dua lagi rakannya keluar menjala udang pada kira-kira pukul 10 pagi di tebing sungai yang berhampiran Rumah Panjang Seruai.
Mohd. Bukhori berkata, beliau dimaklumkan oleh ketua rumah panjang di kawasan terbabit bahawa kejadian itu adalah pertama kali dalam seumur hidupnya sejak penduduk kampung menggunakan sungai itu sebagai jalan perhubungan.
''Penduduk tempatan memberitahu, buaya yang terdapat di sungai itu tidak mengganggu penduduk malah warna kulitnya adalah kuning serta putih dan bukannya hitam seperti yang muncul berhampiran mayat mangsa.
''Ekoran itu penduduk tempatan percaya buaya tersebut dari kawasan lain dan disebabkan itu warnanya lain serta bertindak ganas,'' jelasnya.
Mohd. Bukhori berkata, pihak Perhutanan Sarawak yang melakukan operasi memburu buaya itu tidak dibenarkan membunuhnya sebelum mendapat kebenaran daripada polis.
Labels: Buaya Makan Orang
0 comments:
Post a Comment